assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Tuesday, May 11, 2010

.:Imam As-Syahid Hasan Al-Banna:.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang


Al-Syahid Hasan bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna rh.a. dilahirkan di bandar Mahmudiah (Berdekatan Iskandariah) pada tahun 1906. Beliau menamatkan pengajian di Sekolah Dar al-Ulum, Kaherah dan kemudian bertugas sebagai pengajar yang sering berpindah dari satu bandar ke satu bandar.

Beliau mengajak umatnya supaya mengamalkan al-Quran al-Karim dan berpegang teguh dengan sunnah Nabi s.a.w.. Melalui usahanya ini beribu-ribu mahasiswa, buruh, peladang dan sebagainya daripada pelbagai lapisan masyarakat mendapat hidayah. Setelah itu, beliau menetap beberapa ketika di bandar Ismailiah. Di sini beliau menubuhkan pejabat pertama Ikhwan bersama-sama beberapa orang anggota ikhwan lain. Usaha beliau melangkah setapak lagi apabila beliau mula mengadakan sesi ceramah serta menyebarkan bahan cetak. Malah beliau mula mengadakan lawatan ke beberapa bandar dan desa. Kesannya di setiap daerah akhirnya wujud sebuah pusat dakwah. Dakwah beliau juga bukan terhad untuk golongan lelaki sahaja malah di Ismailiah beliau menubuhkan Maahad Ummahat alMuslimin bertujuan memberikan didikan Islam untuk anak-anak perempuan.

Tidak beberapa lama kemudian beliau berpindah ke Kaherah. Dengan perpindahan ini bermakna ibupejabat dan pusat pentadbiran juga berpindah ke Kaherah. Di sini dakwah beliau semakin menyerlah. Ikhwan semakin berkembang dan jumlah mereka kini mencecah setengah juta orang. Ahli politik dan kuncu-kuncu mereka mula bimbang dengan pengaruh alSyahid. Oleh itu mereka berusaha menyingkirkannya dari medan politik. Namun segala usaha ini tidak mampu menggugatkan keazaman beliau. Beliau bangkit memperkenalkan Islam kepada seluruh manusia bahawa Islam mencakupi akidah, ibadah, tanahair, bangsa, toleransi, kuasa, akhlak, budaya dan undangundang. Akhbar Ikhwan Muslimin yang diterbitkan setiap hari mula dilancarkan di Kaherah. Akhbar ini menjadi wahana dalam bentuk penulisan selain ceramah yang diadakan. Ketika krisis Palestin meletus, pasukan tentera Ikhwan merupakan pasukan sukarelawan yang paling aktif. Mereka berjaya mara hingga hampir memasuki Tel Aviv.

Malangnya pihak pemerintah ketika itu Raja Farouq telah mengkhianati perjuangan ini apabila beliau menandatangani perjanjian damai dan bertindak menahan pemimpin-pemimpin Ikhwan. Tindakan jahat pihak penjajah tidak terhenti setakat itu sahaja. Mereka mula merancang untuk membunuh al-Banna. Ketika al-Banna berada di hadapan ibupejabat Pertubuhan Pemuda Islam di Kaherah mereka melepaskan beberapa das tembakan dan kemudian melarikan diri.
Malangnya tidak siapa yang merawat al-Banna. Beliau dibiarkan terlantar di lantai hospital dengan keadaan darah yang masih mengalir. Mereka hanya menonton tanpa merasa belas kasihan dan berhati perut. Saudara-mara terdekat juga dilarang melawat.

Akhirnya selepas dua jam, beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 1949. Al-Syahid yang dikasihi Allah telah mengabadikan beberapa tulisan yang amat berharga, antaranya Muzakirat al-Dakwah wa al-Da‘iyah dan beberapa risalah.

wallahua'lam

No comments: